Sponsors
Minggu, 09 Maret 2014
Banyak sebab tidak kempen
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
DIKENAL sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang banyak bercakap, kelibat beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mungkin jarang dilihat di pentas kempen sebelum ini.
Ikuti wawancara eksklusif Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu, Rahayu Mustafa dan Skuad Sinar Harian Kemaman, Raiham Mohd Sanusi bersama Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman ini bagi merungkai persoalan yang timbul dan persediaan beliau menghadapi pemilihan.
Bagaimana persediaan Datuk Seri menghadapi pemilihan?
Saya minta maaf kepada perwakilan kerana tidak sempat turun atas beberapa sebab. Pertamanya, sebelum ini saya tumpukan perhatian untuk sambutan merdeka. Saya diberikan tempoh begitu singkat, selain sibuk menghadapi PRU13 pada Mei kemudian kabinet dilantik akhir Mei.
Selepas terbentuknya kabinet dan kementerian berpecah, di situ tidak berapa jelas sama ada sambutan kemerdekaan terletak di bawah kementerian berkaitan kebudayaan atau di dalam komunikasi, tapi akhirnya diputuskan komunikasi. Saya hanya diberi tempoh dua bulan untuk mengendalikan sambutan merdeka. Saya berikan seluruh jiwa raga untuk merealisasikan sambutan itu walaupun waktu itu bulan puasa dan menjelang hari raya serta sebagainya. Saya tumpukan perhatian untuk pastikan sambutan merdeka kali ini memberi impak yang besar.
Hasilnya, ramai beritahu sambutan itu memberi impak terutama berjaya menaikkan (semangat) patriotik. Kita (kementerian) mencari tema yang betul iaitu ‘Negaraku Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku’ dan menganggap ia bukan sekadar satu nama, tetapi mesti diserapkan dengan acara-acara, simbol-simbol dengan perkara terperinci agar sambutan benar-benar dihayati seterusnya menaikkan semangat patriotisme rakyat.
Kita bersyukur pada hari perarakan 31 Ogos, ramai beritahu mereka menangis apabila melihat sendiri balu-balu yang menjadi mangsa peristiwa Lahad Datu diberikan penghormatan. Perkara ini (pemberian penghormatan) bukan berlaku dengan sendiri kalau kita tidak rancang. Kalau tidak, mereka akan dilupakan.
Jadi, saya berikan tumpuan ketika itu sehinggalah sambutan Hari Malaysia pada 16 September di dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak. Ini pun memerlukan tumpuan untuk mengendalikannya. Macam buat Hari Belia dahulu, saya ‘hands on’ dari segi ‘details’ (perkara terperinci). Ya, ada juga diuruskan orang lain (pegawai), tapi saya merasakan kalau saya tinggalkan begitu sahaja pada pegawai dan sebagainya, ia tidak memberi impak sebagaimana dikehendaki. Waktu itu saya berulang-alik ke Sarawak. Sarawak tiada Umno, tapi saya kena pergi juga. Ada orang kata tak payahlah pergi Sarawak, tapi saya pergi banyak kali. Bagi saya, yang penting tanggungjawab diberikan kepada saya dapat dilaksanakan.
Selepas itu dalam masa sebulan terakhir ini, tiga kali saya terpaksa ke luar negara. Ada orang kata tak payahlah pergi. Namun, saya tetap pergi kerana banyak sebab. Pertamanya, saya boleh memahami tanggungjawab dalam kementerian, misalnya di Jepun. Saya dapat menghadiri Persidangan Keselamatan Siber dan manfaatnya, saya lebih memahami mengenai isu keselamatan siber.
Sebenarnya isu keselamatan siber lebih serius daripada apa kita bayangkan selama ini. Ancaman sebenar negara di zaman moden ini bukan semestinya ketenteraan termasuk yang datang menyerang menggunakan senjata serta mengambil sempadan dan tanah air kita. Tetapi apa yang berlaku di Istonia suatu ketika dahulu, dia (penggodam) hanya serang bank. Akibatnya, bank mereka lumpuh.
Berminggu-minggu orang tak boleh keluarkan duit, orang tak boleh beli roti pun, tak boleh makan.
Ia menjadikan negara itu kelam-kabut dan itu merupakan perkara baru hinggakan Pentagon masih mencari jawapan, apakah bentuk infrastruktur perlu dibina dalam menghadapi sistem kebergantungan kita pada dunia siber? Kalau tak pergi, saya mungkin ketinggalan. Saya tidak dapat berjumpa dengan rakan-rakan sejawat dari negara lain.
Yang keduanya, saya bersama Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak pergi ke Silican Valley, Amerika Syarikat. Ia (lawatan itu) juga mengambil masa, tapi sekali lagi saya tegaskan, untuk masa hadapan negara, kunjungan ke sana sebenarnya banyak membawa impak bukan sahaja kepada saya, tetapi juga memberi panduan mengenai cara untuk mengendalikan kementerian pada masa akan datang.
Ketiga, sebaik pulang dari sana, saya mengetuai rombongan perdagangan iaitu Perdagangan Dalam Industri Kandungan. Selama ini, orang ingat krew produksi datang buat drama dan kemudian keluar (disiarkan) dalam RTM dan selesai. Sebenarnya, ia tidak berakhir di situ sebab selepas keluar menerusi RTM, TV3 dan Astro misalnya, kita nak pasarkan pula ia keluar. Jadi ia memerlukan seorang menteri untuk mengetuai rombongan ini.
Alhamdulillah, impaknya kita dapat memberi satu dimensi baru kepada industri ini yang selama ini sedikit terbiar. Saya harap kepergian saya itu dapat melipatgandakan bukan sahaja dari segi pendapatan, bahkan ruang dan peluang mereka yang terlibat dalam industri ini untuk menuju ke satu tahap lebih maju. Malah, saya sendiri terlibat dalam usaha untuk membangunkan usahawan dalam industri produk kandungan dan industri IT (teknologi maklumat) tinjauan daripada lawatan ke Silicon Valley.
Insya-ALLAH, tiga perkara itu akan memberi impak besar untuk saya membantu kerajaan meningkatkan lagi tahap penglibatan negara dalam dunia baru ini. Jadi sebab itu, saya kata tidak sempat untuk turun berkempen. Saya tahu dekat sini orang (calon) sudah jelajah, saya pun tak harap saya dapat ‘top 5’. Namun, saya akui memang mahu menang sebab sudah adat pertandingan semua mahu menang.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar