Sponsors
Rabu, 01 Januari 2014
Nelayan Kelantan Dinasihat Tidak Ke Laut
PASIR PUTEH – Kira-kira 3,600 nelayan tradisional dan laut dalam di Kelantan dinasihat tidak turun ke laut berikutan keadaan laut yang bergelora dan berbahaya kepada aktiviti menangkap ikan.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kelantan (LKIM), Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim menasihati mereka supaya mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Saya tidak menolak kemungkinan sebilangan kecil, terutama nelayan bot laut, tetap ke laut hari ini… saya berharap mereka segera menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jika berlaku kecemasan di samping sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) dengan angin kencang dijangka mencapai kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam manakala ombak setinggi 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur hari ini.
Fenomena itu dijangka berlaku sehingga Selasa ini dan ia berbahaya kepada bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar